Thursday, 20 November 2014

Anaemia Ketika Mengandung

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
 
Tahniah buat wanita-wanita yang sedang hamil.Pastinya anda berharap akan dapat menjalani kehamilan dengan selamat tanpa sebarang masalah. Salah satu masalah yang kadang-kala dihadapi oleh wanita hamil ialah anaemia ketika mengandung.
 
Apakah itu anaemia?
Ia merupakan keadaan apabila kurangnya hemoglobin (hb) dalam sel darah merah. Ia juga boleh terjadi jika bilangan sel darah merah kurang. Oleh kerana tugas hemoglobin dalam sel darah untuk membawa oksigen ke sel tubuh, badan boleh mengalami kekurangan oksigen, kurang bertenaga, dan jika teruk boleh mengalami sukar bernafas atau sakit dada. Jika mengandung, ini boleh menganggu tumbesaran janin.

Bagaimana anaemia boleh terjadi?
1. Kekurangan zat besi dalam darah kerana kurang pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi.
2. Kehilangan darah seperti pendarahan
3. Jarak kelahiran yang rapat boleh menjadi faktor
4. Wanita berpenyakit kekurangan darah seperti thalasemia dan sesetengah pembawa
5. Jangkitan (jarang)
Adakah anaemia berbahaya kepada saya?
1. Faktor kepada tekanan darah tinggi dan eclampsia (sawan)
2. Keguguran
3. Kematian (sekiranya teruk)


Adakah anaemia berbahaya kepada bayi saya?
Oleh kerana janin tidak mendapat oksigen mencukupi,
l.  Boleh membawa kepada kematian Janin
2. Lahir tidak cukup bulan
3- Kurang berat badan
Seriuskah masalah saya?
<6.9        - Sangat teruk
6.9-8.0   - Teruk
8.0- 9.5  - Serderhana
9.5-10.5 - Ringan
Bagaimana Mengesan Anaemia?
Ujian darah secara ''finger prick" (cucuk di hujung jari ) atau ''full blood count" (darah dihantar ke makmal).

 Adakah saya memerlukan ujian lain?
Selalunya melalui ujian "full blood count" doktor akan dapat mengesan kemungkinan untuk pesakit yang mempunyai thalasemia atau masalah darah yang lain. Ujian darah selanjutnya akan dihantar jika perlu.

Bukan semua orang memerlukan ujian tambahan. Sebab utama anaemia ialah kurang zat besi. Semua wanita akan dibekalkan set ubat hematinik (akan diterangkan di bawah) dan dos (sebanyak mana ubat perlu dimakan) akan ditentukan oleh doktor. dos ini mungkin ditambah mengikut keperluan. Sekiranya pemantauan menunjukkan nilai hb anda meningkan dengan ubat hematinik, maka ujian tambahan mungkin tidak diperlukan.

Apa yang boleh saya lakukan untuk mengatasi anaemia?
1. Pil hematinik (empat jenis)
     Ada 4 jenis ubat yang akan dibekalkan kepada semua wanita hamil di klinik kesihatan.
     a) Pil zat besi eg. ferrous fumarate (Bilangan dan kekerapan bergantung kepada tahap anaemia anda)
     b) Pil Vitamin B complex
     c) Pil Asid folik
     d) Pil vitamin C
 
     Zat besi, vitamin B complex dan Asid folik diperlukan dalam pembentukan sel darah merah.
     Vitamin C pula membantu penyerapan zat besi, jadi ia perlu dimakan bersama ketika mengambil pil zat besi.

     Selain dari ubat yang diberi di klinik kesihatan, mungkin anda akan dicadangkan untuk membeli ubat zat besi di farmasi (bagi kes-kes tertentu).

Pil hematinik mempunyai pelbagai bentuk bergantung kepada jenama.
  Kesan sampingan pil zat besi termasuk loya dan muntah, pening dan sembelit. Untuk mengatasinya loya dan muntah, anda digalakkan makan pil bersama buah atau jus buah. Bagi pening, mungkin doktor akan menasihati untuk makan pil sebelum tidur. Sekiranya anda mengalami masalah sembelit, minumlah banyak air kosong dan perbanyakan sayur dan buah-buahan dalam diet anda.

2. Makan makanan yang kaya zat besi
 Makanan yang kaya dengan zat besi ialah daging, ayam, hati ayam, kerang, ikan bilis dan sayuran hijau seperti bayam.

Sekiranya anda vegeterian, anda perlulah mengambil makanan daripada kombinasi beberapa jenis kekacang seperti kacang hijau, kacang soya dan kacang dhal bersama makanan dan minuman tinggi vitamin C. Pelbagaikan sayuran hijau dan jangan lupakan pil hematinik anda.


Bagaimana saya dapat meningkatkan penyerapan zat besi?
Ada dua cara;
  1. Lebihkan makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi di dalam hidangan anda seperti berikut;
  • Buah atau sayur yang kaya vitamin C seperti jambu batu, limau, betik, mangga dan sayur hijau seperti pegaga, sawi, kailan, pucuk ubi, bayam dan kangkung.
  • Jus buah-buahan
  • Sekiranya makan nasi atau makanan berat boleh cuba makan bersama makanan berasaskan buah seperti sambal atau kerabu mangga, air asam berisi tomato dan limau kasturi.
  • Gunakan rencah dari sumber haiwan seperti ikan bilis, udang isi ayam dan isi daging. 
      2. Kurangkan makanan yang mengandungi bahan yang menghalang penyerapan zat besi seperti kopi, teh, minuman berkola dan minuman bercoklat.
  • Jika minum pastikan sekurang-kurangnya 1-2 jam selepas waktu makan utama atau selepas makan pil hematinik.
  • Susu juga mengandungi bahan penghalang zat besi. Walaupun begitu, ibu hamil perlu minum 2-3 gelas susu sehari untuk kalsium yang mencukupi. Jadi, minumlah susu tepung atau susu segar antara waktu makan seperti pada waktu pagi, minum petang dan minum malam.
 
Semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Maklumat diperolehi dari KKM.