Tuesday 16 December 2014

16 Tips Wanita Sihat

Assalamualaikum dan salam sejahtera :)

Sihat ialah bukan saja bermaksud bebas dari penyakit. Ia juga meliputi kesejahteraan dari segi jasmani, rohani dan mental. Disini disertakan16 tips yang kita boleh amalkan bersama.

1. Amalkan gaya hidup sihat.

2. Mengimbangi pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal.

3. Melakukan pemeriksaan saringan secara berkala, atau sekiranya mempunyai masalah kesihatan, pastikan anda menghadiri temujanji dengan doktor anda.

Anda juga boleh mengamalkan pemeriksaan sendiri payu dara sebulan sekali.

4. Merancang kehamilan bersama-sama pasangan agar tidak terlalu awal, terlalu lewat atau terlalu rapat.

Klinik kesihatan, LPPKN atau klinik swasta berdekatan selalunya mempunyai perkhidmatan perancang keluarga. Kami boleh membantu anda memilih cara yang paling sesuai dengan gaya hidup anda.

Bagi wanita yang merancang untuk hamil anda boleh mendapatkan suplemen folic acid pra kehamilan secara percuma. Bagi wanita bermasalah kesihatan anda amat digalakkan hadir ke Klinik Pra Kehamilan supaya kami dapat membantu mengawal masalah kesihatan agar mengurangkan risiko ketika kehamilan.

5. Mengutamakan keselamatan dan kebersihan di rumah serta di tempat kerja.

6. Menjalani pemeriksaan kesihatan gigi setahun sekali.

7. Meningkatkan pengetahuan kesihatan dari masa ke semasa.

8. Menghindari rokok, dadah, arak, zina dan lain-lain aktiviti tidak sihat.

9. Mengamalkan ajaran agama dan nilai moral.

10. Sentiasa mengamalkan pemikiran positif dalam aktiviti harian.

11. Mengamalkan komunikasi dua hala secara berkesan.

12. Mengamalkan langkah-langkah menangani tekanan mental.

13. Menentukan matlamat hidup yang realistik.

14. Menguruskan masa dengan bijaksana.

15. Meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat handai.

16. Berehat dan beriadah secukupnya.

(Diambil dari buku Rekod Kesihatan Sepanjang Hayat - Dewasa(Perempuan))

Thursday 20 November 2014

Anaemia Ketika Mengandung

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
 
Tahniah buat wanita-wanita yang sedang hamil.Pastinya anda berharap akan dapat menjalani kehamilan dengan selamat tanpa sebarang masalah. Salah satu masalah yang kadang-kala dihadapi oleh wanita hamil ialah anaemia ketika mengandung.
 
Apakah itu anaemia?
Ia merupakan keadaan apabila kurangnya hemoglobin (hb) dalam sel darah merah. Ia juga boleh terjadi jika bilangan sel darah merah kurang. Oleh kerana tugas hemoglobin dalam sel darah untuk membawa oksigen ke sel tubuh, badan boleh mengalami kekurangan oksigen, kurang bertenaga, dan jika teruk boleh mengalami sukar bernafas atau sakit dada. Jika mengandung, ini boleh menganggu tumbesaran janin.

Bagaimana anaemia boleh terjadi?
1. Kekurangan zat besi dalam darah kerana kurang pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi.
2. Kehilangan darah seperti pendarahan
3. Jarak kelahiran yang rapat boleh menjadi faktor
4. Wanita berpenyakit kekurangan darah seperti thalasemia dan sesetengah pembawa
5. Jangkitan (jarang)
Adakah anaemia berbahaya kepada saya?
1. Faktor kepada tekanan darah tinggi dan eclampsia (sawan)
2. Keguguran
3. Kematian (sekiranya teruk)


Adakah anaemia berbahaya kepada bayi saya?
Oleh kerana janin tidak mendapat oksigen mencukupi,
l.  Boleh membawa kepada kematian Janin
2. Lahir tidak cukup bulan
3- Kurang berat badan
Seriuskah masalah saya?
<6.9        - Sangat teruk
6.9-8.0   - Teruk
8.0- 9.5  - Serderhana
9.5-10.5 - Ringan
Bagaimana Mengesan Anaemia?
Ujian darah secara ''finger prick" (cucuk di hujung jari ) atau ''full blood count" (darah dihantar ke makmal).

 Adakah saya memerlukan ujian lain?
Selalunya melalui ujian "full blood count" doktor akan dapat mengesan kemungkinan untuk pesakit yang mempunyai thalasemia atau masalah darah yang lain. Ujian darah selanjutnya akan dihantar jika perlu.

Bukan semua orang memerlukan ujian tambahan. Sebab utama anaemia ialah kurang zat besi. Semua wanita akan dibekalkan set ubat hematinik (akan diterangkan di bawah) dan dos (sebanyak mana ubat perlu dimakan) akan ditentukan oleh doktor. dos ini mungkin ditambah mengikut keperluan. Sekiranya pemantauan menunjukkan nilai hb anda meningkan dengan ubat hematinik, maka ujian tambahan mungkin tidak diperlukan.

Apa yang boleh saya lakukan untuk mengatasi anaemia?
1. Pil hematinik (empat jenis)
     Ada 4 jenis ubat yang akan dibekalkan kepada semua wanita hamil di klinik kesihatan.
     a) Pil zat besi eg. ferrous fumarate (Bilangan dan kekerapan bergantung kepada tahap anaemia anda)
     b) Pil Vitamin B complex
     c) Pil Asid folik
     d) Pil vitamin C
 
     Zat besi, vitamin B complex dan Asid folik diperlukan dalam pembentukan sel darah merah.
     Vitamin C pula membantu penyerapan zat besi, jadi ia perlu dimakan bersama ketika mengambil pil zat besi.

     Selain dari ubat yang diberi di klinik kesihatan, mungkin anda akan dicadangkan untuk membeli ubat zat besi di farmasi (bagi kes-kes tertentu).

Pil hematinik mempunyai pelbagai bentuk bergantung kepada jenama.
  Kesan sampingan pil zat besi termasuk loya dan muntah, pening dan sembelit. Untuk mengatasinya loya dan muntah, anda digalakkan makan pil bersama buah atau jus buah. Bagi pening, mungkin doktor akan menasihati untuk makan pil sebelum tidur. Sekiranya anda mengalami masalah sembelit, minumlah banyak air kosong dan perbanyakan sayur dan buah-buahan dalam diet anda.

2. Makan makanan yang kaya zat besi
 Makanan yang kaya dengan zat besi ialah daging, ayam, hati ayam, kerang, ikan bilis dan sayuran hijau seperti bayam.

Sekiranya anda vegeterian, anda perlulah mengambil makanan daripada kombinasi beberapa jenis kekacang seperti kacang hijau, kacang soya dan kacang dhal bersama makanan dan minuman tinggi vitamin C. Pelbagaikan sayuran hijau dan jangan lupakan pil hematinik anda.


Bagaimana saya dapat meningkatkan penyerapan zat besi?
Ada dua cara;
  1. Lebihkan makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi di dalam hidangan anda seperti berikut;
  • Buah atau sayur yang kaya vitamin C seperti jambu batu, limau, betik, mangga dan sayur hijau seperti pegaga, sawi, kailan, pucuk ubi, bayam dan kangkung.
  • Jus buah-buahan
  • Sekiranya makan nasi atau makanan berat boleh cuba makan bersama makanan berasaskan buah seperti sambal atau kerabu mangga, air asam berisi tomato dan limau kasturi.
  • Gunakan rencah dari sumber haiwan seperti ikan bilis, udang isi ayam dan isi daging. 
      2. Kurangkan makanan yang mengandungi bahan yang menghalang penyerapan zat besi seperti kopi, teh, minuman berkola dan minuman bercoklat.
  • Jika minum pastikan sekurang-kurangnya 1-2 jam selepas waktu makan utama atau selepas makan pil hematinik.
  • Susu juga mengandungi bahan penghalang zat besi. Walaupun begitu, ibu hamil perlu minum 2-3 gelas susu sehari untuk kalsium yang mencukupi. Jadi, minumlah susu tepung atau susu segar antara waktu makan seperti pada waktu pagi, minum petang dan minum malam.
 
Semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Maklumat diperolehi dari KKM.

Monday 7 April 2014

Pap Smear


Pap smear merupakan ujian saringan yang dilakukan untuk mengesan kanser serviks.



Peralatan yang digunakan untuk melakukan pap smear

Siapa yang perlu melakukan pap smear?
Wanita-wanita yang mempunyai risiko untuk mendapat kanser serviks seperti :
  • Perokok
  • Mempunyai ramai pasangan hubungan seks
  • Mempunyai jangkitan Human Papilloma Virus (HPV)
  • Melakukan hubungan seks sebelum usia 18 tahun

Bagaimana prosedur pap smear dilakukan?
  1. Pemeriksaan dalaman dilakukan menggunakan spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj.
  2. Sel-sel permukaan serviks akan di ambil menggunakan spatula dan kemudian di hantar ke makmal untuk diproses.

Setelah keputusan pap smear dikeluarkan, apakah langkah seterusnya?

Sekiranya keputusan pap smear adalah tidak normal, anda akan dirujuk kepada doktor untuk tindakan selanjutnya.
Sekiranya keputusan pap smear adalah normal, anda adalah digalakkan untuk mengulang prosedur pap smear setiap 3 tahun sekali.

Sunday 30 March 2014

Kanser Serviks

Serviks atau pun pangkal rahim merupakan sebahagian daripada saluran peranakan wanita. Anda boleh merujuk gambar rajah di bawah yang menunjukkan kedudukan serviks di dalam badan wanita.


Kanser serviks adalah antara kanser yang paling banyak berlaku di kalangan wanita di Malaysia. Kanser serviks terjadi apabila sel-sel di bahagian serviks bertindak secara tidak normal. Sel-sel ini akan terus membesar dan membentuk ketulan atau tumor. Jika kanser ini tidak dikesan dan tidak dirawat di peringkat awal, sel-sel kanser boleh merebak ke seluruh tubuh melalui sistem darah atau sistem limfa. 

Kanser serviks selalunya berlaku tanpa tanda-tanda awal penyakit. Kebanyakkan pesakit kanser serviks yang mempunyai tanda-tanda penyakit selalunya berada pada tahap yang serius.

Wanita yang berisiko untuk mendapat kanser serviks :
  • Merokok
  • Wanita yang mempunyai jangkitan virus Human Papilloma
  • Mempunyai pasangan hubungan seks yang ramai
  • Melakukan perhubungan seks sebelum usia 18 tahun

Tanda-tanda kanser serviks :
  • Lelehan dari faraj yang banyak dan berbau busuk 
  • Rasa sakit semasa melakukan hubungan seks (dyspareunia)
  • Pendarahan dari faraj selepas melakukan hubungan seks
  • Pendarahan dari faraj antara haid
  • Pendarahn dari faraj selepas putus haid

Jika anda mempunyai faktor risiko atau tanda-tanda penyakit seperti di atas, anda digalakkan untuk berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut.









Saturday 8 February 2014

Pengenalan

Selamat datang ke blog Wanita Sihat Klinik Kesihatan Bandar Jengka ( blog Wanita Sihat KKBJ).

Blog ini ditujukan kepada semua wanita terutama sekali yang tinggal di kawasan operasi Klinik Kesihatan Bandar Jengka (KKBJ) . Tujuan blog ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran mengenai kesihatan wanita terutamanya mengenai kanser serviks dan pap smear.

Pap smear adalah ujian saringan untuk mengesan kanser serviks. Ujian ini dilakukan untuk wanita yang berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai faktor risiko untuk mendapat kanser serviks.
Untuk pengetahuan anda, saringan pap smear boleh dilakukan di klinik kesihatan, Klinik Kesihatan 1 Malaysia dan klinik-klinik desa. Kepada wanita-wanita yang tidak dapat ke klinik kesihatan pada waktu pejabat, anda boleh ke Klinik Kesihatan 1 Malaysia yang dibuka setiap hari dari 10 pagi ke 10 malam.

Kepada sesiapa yang berminat untuk melakukan pap smear, anda boleh membuat temu janji melalui salah satu daripada cara berikut :
1) Menghubungi Klinik Kesihatan Bandar Jengka atau klinik-klinik desa melalui nombor telefon seperti yang tertera.
2) Meninggalkan maklumat diri anda di ruangan temu janji yang disediakan di blog ini.
3) Menghubungi kami melalui Facebook.

Prosedur pap smear ini boleh dilakukan sama ada di KKBJ, klinik desa atau Klinik Kesihatan 1 Malaysia mengikut keselesaan anda.