Monday, 7 April 2014

Pap Smear


Pap smear merupakan ujian saringan yang dilakukan untuk mengesan kanser serviks.



Peralatan yang digunakan untuk melakukan pap smear

Siapa yang perlu melakukan pap smear?
Wanita-wanita yang mempunyai risiko untuk mendapat kanser serviks seperti :
  • Perokok
  • Mempunyai ramai pasangan hubungan seks
  • Mempunyai jangkitan Human Papilloma Virus (HPV)
  • Melakukan hubungan seks sebelum usia 18 tahun

Bagaimana prosedur pap smear dilakukan?
  1. Pemeriksaan dalaman dilakukan menggunakan spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj.
  2. Sel-sel permukaan serviks akan di ambil menggunakan spatula dan kemudian di hantar ke makmal untuk diproses.

Setelah keputusan pap smear dikeluarkan, apakah langkah seterusnya?

Sekiranya keputusan pap smear adalah tidak normal, anda akan dirujuk kepada doktor untuk tindakan selanjutnya.
Sekiranya keputusan pap smear adalah normal, anda adalah digalakkan untuk mengulang prosedur pap smear setiap 3 tahun sekali.

Sunday, 30 March 2014

Kanser Serviks

Serviks atau pun pangkal rahim merupakan sebahagian daripada saluran peranakan wanita. Anda boleh merujuk gambar rajah di bawah yang menunjukkan kedudukan serviks di dalam badan wanita.


Kanser serviks adalah antara kanser yang paling banyak berlaku di kalangan wanita di Malaysia. Kanser serviks terjadi apabila sel-sel di bahagian serviks bertindak secara tidak normal. Sel-sel ini akan terus membesar dan membentuk ketulan atau tumor. Jika kanser ini tidak dikesan dan tidak dirawat di peringkat awal, sel-sel kanser boleh merebak ke seluruh tubuh melalui sistem darah atau sistem limfa. 

Kanser serviks selalunya berlaku tanpa tanda-tanda awal penyakit. Kebanyakkan pesakit kanser serviks yang mempunyai tanda-tanda penyakit selalunya berada pada tahap yang serius.

Wanita yang berisiko untuk mendapat kanser serviks :
  • Merokok
  • Wanita yang mempunyai jangkitan virus Human Papilloma
  • Mempunyai pasangan hubungan seks yang ramai
  • Melakukan perhubungan seks sebelum usia 18 tahun

Tanda-tanda kanser serviks :
  • Lelehan dari faraj yang banyak dan berbau busuk 
  • Rasa sakit semasa melakukan hubungan seks (dyspareunia)
  • Pendarahan dari faraj selepas melakukan hubungan seks
  • Pendarahan dari faraj antara haid
  • Pendarahn dari faraj selepas putus haid

Jika anda mempunyai faktor risiko atau tanda-tanda penyakit seperti di atas, anda digalakkan untuk berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut.









Saturday, 8 February 2014

Pengenalan

Selamat datang ke blog Wanita Sihat Klinik Kesihatan Bandar Jengka ( blog Wanita Sihat KKBJ).

Blog ini ditujukan kepada semua wanita terutama sekali yang tinggal di kawasan operasi Klinik Kesihatan Bandar Jengka (KKBJ) . Tujuan blog ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran mengenai kesihatan wanita terutamanya mengenai kanser serviks dan pap smear.

Pap smear adalah ujian saringan untuk mengesan kanser serviks. Ujian ini dilakukan untuk wanita yang berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai faktor risiko untuk mendapat kanser serviks.
Untuk pengetahuan anda, saringan pap smear boleh dilakukan di klinik kesihatan, Klinik Kesihatan 1 Malaysia dan klinik-klinik desa. Kepada wanita-wanita yang tidak dapat ke klinik kesihatan pada waktu pejabat, anda boleh ke Klinik Kesihatan 1 Malaysia yang dibuka setiap hari dari 10 pagi ke 10 malam.

Kepada sesiapa yang berminat untuk melakukan pap smear, anda boleh membuat temu janji melalui salah satu daripada cara berikut :
1) Menghubungi Klinik Kesihatan Bandar Jengka atau klinik-klinik desa melalui nombor telefon seperti yang tertera.
2) Meninggalkan maklumat diri anda di ruangan temu janji yang disediakan di blog ini.
3) Menghubungi kami melalui Facebook.

Prosedur pap smear ini boleh dilakukan sama ada di KKBJ, klinik desa atau Klinik Kesihatan 1 Malaysia mengikut keselesaan anda.